Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SMK TAT BENG DISENARAI TOP 5 (OPERASI ALPHA), TERUS MANTAP DALAM USAHA KELESTARIAN
ALAM SEKITAR

TRONG, PERAK, 29 Oktober 2025 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tat Beng mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya tersenarai dalam lima sekolah terbaik (Top 5) bagi Operasi Alpha, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Majlis apresiasi ini diadakan bagi meraikan komitmen warga sekolah dalam menjayakan pelbagai inisiatif kelestarian alam sekitar. Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berusaha Encik Ahmad Fariz Yusof, Pengetua SMK Tat Beng, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan tersebut. Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sekadar simbol pencapaian, tetapi juga pengiktirafan terhadap usaha gigih seluruh warga sekolah dalam mengamalkan gaya hidup lestari. Menurut beliau, “SMK Tat Beng memang mengamalkan persekitaran lestari (sustainable environment),” menandakan bahawa nilai hijau telah lama sebati dalam budaya sekolah.

Beliau turut menzahirkan hasrat agar kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada guru, murid, dan komuniti sekolah untuk terus melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh misi kelestarian. “Kita tidak hanya mahu berjaya dalam pertandingan, tetapi mahu menjadikan amalan hijau ini satu budaya yang kekal dan berterusan,” ujarnya dengan penuh harapan.

Sementara itu, Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Noor Rashid Kamaridi, Timbalan Pegawai (Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian SMK Tat Beng. Beliau, yang telah mengenali inisiatif CETREE sejak tahun 2004 melalui pelbagai pertandingan seperti Solar Car Race, Solar Boat Race, Dapur Solar dan Eureka Beach House, menegaskan bahawa usaha pendidikan kelestarian tidak seharusnya berhenti selepas pertandingan berakhir.

Menurut beliau, menjaga alam sekitar, khususnya sungai, adalah tanggungjawab bersama untuk mengelakkan bencana seperti banjir yang sering berpunca daripada pembangunan tidak terancang. Beliau menasihatkan agar semua pihak terus memainkan peranan aktif sebagai agen kelestarian dan mengekalkan usaha baik ini demi kesejahteraan generasi akan datang.

Dalam pada itu, Yang Berusaha Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM), turut menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada SMK Tat Beng kerana berjaya menempatkan diri dalam Top 5 daripada 103 buah sekolah yang menyertai program. Beliau memuji semangat dan daya juang pasukan komander serta ejen sekolah yang berusaha mengumpulkan data bagi menyempurnakan empat misi utama Operasi Alpha dari Julai hingga Oktober lalu. Beliau menekankan bahawa pemberian hadiah pada majlis ini bukan sekadar penghargaan, tetapi sebagai suntikan semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus mengorak langkah dalam Misi Beta yang akan datang. Encik Syafiq turut menjelaskan bahawa program ini akan diteruskan secara berperingkat hingga tahun 2026, dengan pemantauan prestasi dan ranking sekolah dijalankan melalui laman sesawang rasmi serta platform media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan bergambar bersama tetamu jemputan, di mana suasana penuh ceria dan semangat jelas terpancar pada wajah para peserta. Diharapkan kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada SMK Tat Beng untuk terus mengekalkan momentum kelestarian dan memperkukuh peranan sebagai sekolah contoh dalam amalan hijau di negeri Perak.

Teks / Foto : Ahmad Ammar Zakaria