Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SMK TUN SABAN PERKUKUH EKOSISTEM SEKOLAH LESTARI, RAIH TEMPAT KELIMA OPERASI GAMMA

HULU PERAK, PERAK, 23 September 2026 – SMK Tun Saban (AEE7033), Hulu Perak menerima kunjungan panel penilai sebagai sekolah keempat daripada lima (5) sekolah yang disenarai pendek bagi penilaian akhir Program Sekolah Tunas Hijau (PSTH) Fasa III – Perak (Siri 2). Kunjungan tersebut turut disusuli dengan penyampaian penghargaan selepas sekolah berkenaan meraih Tempat Kelima dalam Operasi GAMMA, PSTH Fasa III – Perak (Siri 2).

Program anjuran Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP) dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM memberi penekanan kepada pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta pembentukan budaya sekolah yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dalam sesi kunjungan, pihak sekolah berkongsi pendekatan Gerakan Tunas Hijau yang menggabungkan peranan pengurusan, guru dan murid dalam melaksanakan inisiatif yang dirancang. Pasukan Tunas Hijau turut berperanan sebagai penggerak dalam kalangan rakan sebaya melalui perkongsian idea dan penglibatan secara langsung dalam aktiviti sekolah.

Antara pendekatan yang diketengahkan ialah penerapan 5R — Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle sebagai panduan dalam penggunaan bahan dan pengurusan sisa. Panel penilai turut meninjau persekitaran sekolah serta mendapatkan penerangan daripada guru komander dan murid bagi melihat pelaksanaan inisiatif secara langsung.

Sesi tersebut turut menjadi ruang untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan maklum balas dan mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memastikan usaha yang dilaksanakan dapat diteruskan secara konsisten. Peranan guru komander sebagai pembimbing turut membantu murid mengurus tugasan, bekerjasama dan mengambil tanggungjawab sepanjang pelaksanaan program. Sebagai tanda penghargaan, piala, sijil dan token penghargaan disampaikan kepada pasukan Tunas Hijau dan guru komander SMK Tun Saban atas penglibatan mereka dalam Operasi GAMMA.

Kunjungan tersebut disertai oleh Profesor Kehormat Dr. Haslan Abu Hassan, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM; Profesor Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad, Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM; Dr. Mohd Sukri Shafie, CETREE, CGSS, USM; serta Sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau. Penilaian tapak ini merupakan salah satu komponen dalam proses penentuan lima (5) sekolah terbaik serta penerima Anugerah Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), dengan penilaian keseluruhan turut mengambil kira pelaksanaan aktiviti, eviden yang dikemukakan dan pemerhatian secara langsung di sekolah.

Sebagai sekolah keempat yang melalui penilaian akhir, SMK Tun Saban mengetengahkan kepentingan kesepaduan peranan warga sekolah dalam membina persekitaran pembelajaran yang menyokong amalan hijau. Dengan kunjungan ini, siri penilaian akhir semakin menghampiri kemuncak sebelum keputusan lima sekolah terbaik dan penerima anugerah ditentukan. Sesi diakhiri dengan sesi bergambar bersama panel penilai, sekretariat, guru komander dan pasukan Tunas Hijau SMK Tun Saban sebagai tanda penghargaan atas kerjasama pihak sekolah.

Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan