SMK TUN SRI LANANG TONJOL PENDEKATAN MURID DALAM MENGGERAKKAN KELESTARIAN SEKOLAH
TANGKAK, JOHOR, 11 September 2026 – Usaha membentuk generasi muda yang cakna alam sekitar terus diperkasakan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sri Lanang mengetengahkan pelbagai inisiatif kelestarian yang digerakkan secara bersama oleh murid, guru dan warga sekolah menerusi Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.
Sebagai sekolah keempat daripada lima (5) sekolah terbaik yang terpilih daripada keseluruhan 16 buah sekolah menengah yang menyertai program ini, SMK Tun Sri Lanang tampil dengan perkongsian berkaitan pelaksanaan aktiviti, pengalaman pasukan Duta Muda Alam serta pendekatan yang digunakan dalam menggalakkan penglibatan warga sekolah terhadap agenda kelestarian.
Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi koordinator dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri NRES, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang ini telah bermula pada 25 hingga 26 Jun 2026 di Taman Negara Johor Gunung Ledang dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri NRES, YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh.
Program yang melibatkan 16 buah sekolah menengah di daerah Tangkak ini memberi penekanan kepada tiga bidang utama, iaitu pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengurusan sisa elektronik atau e-waste serta penjimatan tenaga. Pendekatan tersebut memberi peluang kepada murid untuk mengenal pasti isu alam sekitar yang dekat dengan kehidupan mereka, merancang tindakan serta menggerakkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan sekolah.
Dalam sesi perkongsian di SMK Tun Sri Lanang, pasukan Duta Muda Alam sekolah mengetengahkan pengalaman mereka dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kelestarian, di samping menjelaskan peranan murid sebagai penggerak utama kepada usaha yang dilaksanakan. Pembentangan tersebut turut memperlihatkan bagaimana idea yang dicetuskan dapat diterjemahkan kepada aktiviti yang melibatkan penyertaan lebih luas dalam kalangan warga sekolah.
Sesi interaksi bersama panel pula memberi peluang kepada murid menjelaskan pendekatan yang digunakan, cabaran yang dihadapi serta langkah penambahbaikan yang dilaksanakan sepanjang program. Perkongsian secara bersemuka ini menyerlahkan keyakinan murid dalam menyampaikan idea, mempertahankan pendekatan yang diambil serta menghubungkan usaha kelestarian dengan keperluan sebenar persekitaran sekolah.
Kunjungan turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Ledang, yang berkesempatan mendengar pembentangan ejen-ejen Duta Muda Alam serta meninjau sendiri hasil dan pelaksanaan aktiviti kelestarian di SMK Tun Sri Lanang. Kehadiran beliau menjadi satu bentuk penghargaan terhadap usaha warga sekolah, selain memberi peluang kepada murid untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi mereka dalam memperkukuh agenda kelestarian di peringkat sekolah.
Tinjauan ke beberapa lokasi berkaitan turut dilaksanakan bagi melihat pelaksanaan inisiatif secara lebih dekat. Melalui sesi tersebut, delegasi berpeluang mendapatkan penerangan daripada guru dan murid mengenai aktiviti yang dijalankan serta melihat bagaimana amalan kelestarian diterapkan dalam persekitaran sekolah. Pendekatan ini turut memperlihatkan bahawa usaha menjaga alam sekitar memerlukan penglibatan berterusan dan tidak bergantung kepada sesuatu program semata-mata.
Kehadiran pelbagai agensi dalam kunjungan ini turut mengukuhkan pendekatan kolaboratif dalam pendidikan alam sekitar, khususnya melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman daripada sektor kerajaan, agensi teknikal serta institusi pendidikan tinggi. Pendedahan sedemikian memberi ruang kepada murid untuk memahami isu kelestarian daripada perspektif yang lebih luas dan membina keyakinan untuk mengambil peranan dalam menyokong perubahan positif di sekolah dan komuniti.
Kunjungan tersebut turut disertai Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM; Puan Roslina binti Diwa, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Alam Sekitar, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS; Puan Roszana binti Yusoff, Ketua Akademi Hijau, MGTC; Encik Muhamad Faiz bin Muhamad Pauzi, Ketua Bahagian Projek, YHM; dan Sekretariat CETREE, CGSS, USM, yang disambut oleh pihak pengurusan, guru dan peserta Duta Muda Alam SMK Tun Sri Lanang.
Sebagai salah satu daripada lima sekolah terbaik yang terpilih, SMK Tun Sri Lanang kini berada di peringkat akhir pemilihan bagi menentukan penerima Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026. Keputusan rasmi akan diumumkan pada Majlis Akhir Penyampaian Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak, Negeri Johor Tahun 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2026 di Dewan Putra, Padang Lerek, Tangkak, Johor.
Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 bukan sahaja memberi pendedahan mengenai isu alam sekitar, malah menyediakan ruang kepada murid untuk membina kepimpinan, mengasah kemahiran komunikasi serta belajar mengurus perubahan melalui tindakan yang nyata. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat menjadi asas kepada pembentukan generasi muda yang lebih berani mengambil tanggungjawab dan membawa budaya kelestarian melangkaui persekitaran sekolah.
Kunjungan ke SMK Tun Sri Lanang diakhiri dengan sesi bergambar bersama YB Timbalan Menteri NRES, pihak pengurusan sekolah, guru, pasukan Duta Muda Alam, delegasi dan sekretariat sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan