TENAGA BOLEH BAHARU PERKUKUH LITERASI STEM, LAHIRKAN GENERASI PEMIMPIN MASA HADAPAN
IPOH, PERAK, 25 Julai 2026 – Usaha memperkukuh literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan tenaga boleh baharu terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Tenaga Boleh Baharu dan STEM di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Ipoh. Program yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan rakan industri ini menjadi platform pembelajaran interaktif bagi mendedahkan murid kepada aplikasi sains dan teknologi dalam kehidupan seharian, sekali gus menyemai minat terhadap bidang STEM sejak di bangku sekolah.
Sepanjang program berlangsung, murid-murid berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran secara hands-on dan penyelesaian masalah, antaranya Kuiz STEM secara dalam talian, aktiviti Tangram, eksperimen tenaga solar, projek magnet serta sesi ceramah motivasi dan pendedahan kerjaya dalam bidang STEM. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep sains, malah menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
Sebagai antara rakan strategik program, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM telah mengendalikan bengkel interaktif berkaitan konsep tenaga boleh baharu yang disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS, USM bersama barisan Sekretariat CETREE. Murid diberi peluang meneroka prinsip asas teknologi tenaga boleh baharu melalui aktiviti amali yang menghubungkan teori dengan aplikasi sebenar, sekali gus memperkukuh kefahaman mereka terhadap penggunaan tenaga lestari.
Turut menjadi tarikan ialah Unit Pameran Bergerak CETREE, yang mempamerkan pelbagai teknologi hijau, inovasi tenaga boleh baharu dan aplikasi kecekapan tenaga. Pameran ini memberi peluang kepada murid, guru serta pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan bahan pameran dan memahami kepentingan teknologi hijau dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Program ini turut menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Program Kelayakan Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang melibatkan Encik Mohd E’fa Khadri, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Jati, yang sedang menjalani perantisan kepimpinan di Sekolah Kebangsaan Jelapang. Pengalaman mengendalikan program berimpak tinggi seperti ini memberi nilai tambah kepada pembangunan kompetensi kepimpinan pendidikan dalam memperkukuh jaringan kolaboratif antara sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi luar.
Kejayaan penganjuran program ini adalah hasil komitmen serta sokongan padu warga Sekolah Kebangsaan Jelapang yang diterajui oleh Encik Jasmaney Saidin, Guru Besar SK Jelapang, bersama semua rakan strategik yang berganding bahu menjayakan pelbagai pengisian sepanjang program.
Program Tenaga Boleh Baharu dan STEM ini membuktikan bahawa kolaborasi erat antara sekolah, universiti, agensi kerajaan dan industri mampu mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik dan relevan dengan keperluan abad ke-21. Lebih daripada sekadar penganjuran aktiviti, program ini berjaya menyemai minat terhadap STEM, meningkatkan literasi tenaga dan kelestarian serta memberi inspirasi kepada murid untuk menjadi generasi yang berpengetahuan, inovatif dan bersedia menerajui pembangunan teknologi hijau demi masa depan negara.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau