Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

TENAGA HIJAU UNTUK MASA DEPAN: PENERAPAN STEM DALAM KEHIDUPAN HARIAN

ALOR SETAR, KEDAH, 2 Mei 2025 - Program Start-Up Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat negeri Kedah bagi tahun 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid – STEM, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Program ini telah berlangsung dengan meriah pada 30 April 2025 bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pumpong, Alor Setar, Kedah, dengan penyertaan murid-murid dari sekolah-sekolah sekitar daerah Kota Setar.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha, Tuan Haji Mohamad Kamal Hashim, Timbalan Pengarah, Pembangunan Murid, yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Turut hadir memberikan sokongan serta membawa aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia ialah Dr. Mohd Azly Zakaria, Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program ini mendapat kerjasama daripada beberapa rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menjayakannya. Antara rakan strategik yang terlibat ialah CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, SASBADI Learning, Walnut Education, dan pihak tuan rumah, SJKC Pumpong.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan elemen STEM kepada murid melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Pendekatan seperti belajar sambil bermain, didik hibur, serta aktiviti secara hand's-on digunakan bagi menarik minat murid terhadap bidang STEM dan meningkatkan kefahaman mereka secara lebih berkesan.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan. Antaranya termasuklah bengkel roket air, bengkel robotik, sesi pembelajaran bersama Walnut Education, perkonsian permindahan ilmu serta lawatan ke pameran sains dan teknologi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal, malah turut membantu murid membina kreativiti, menyelesaikan masalah dan memahami aplikasi STEM dalam kehidupan seharian. Sebagai salah satu pengisian program, CETREE, CGSS, USM telah dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan kecekapan tenaga dalam kehidupan harian. Ceramah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie itu disusuli dengan pameranTeknologi Hijau secara interaktif melalui Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak yang terlibat. Diharapkan agar usaha murni ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah sebagai langkah penting dalam melahirkan murid yang celik STEM, serta menyedari kepentingan bidang ini dalam membina masa depan negara yang berdaya saing dan berinovasi.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE