Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

TIMBALAN MENTERI NRES PERKASA GENERASI MUDA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN MELALUI KEM DUTA MUDA ALAM TANGKAK

TANGKAK, JOHOR, 26 Jun 2026 – Seramai wakil guru dan murid daripada 16 buah sekolah menengah di daerah Tangkak menyertai Kem Duta Muda Alam Daerah Tangkak, Johor yang berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2026 di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda). Program ini menjadi platform bagi memperkasakan generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan dalam membudayakan amalan hijau serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di sekolah dan komuniti. 

Kem ini merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang diselaraskan oleh Yayasan Hijau Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini turut mendapat sokongan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang dalam memperkukuh pelaksanaan agenda kelestarian di peringkat komuniti.

Bertemakan "Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna", kem ini memberi penekanan kepada pembentukan Duta Muda Alam sebagai agen perubahan yang mampu memimpin pelaksanaan amalan lestari di sekolah. Sepanjang dua hari program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berasaskan pengalaman seperti gamifikasi, bengkel interaktif, eksplorasi alam semula jadi, latihan berkumpulan dan perkongsian ilmu yang memberi pendedahan kepada pengurusan sisa plastik, prinsip 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Redesign dan Recycle), Teknologi Hijau, Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga serta kepentingan memelihara Biodiversiti dan alam sekitar.

Perkongsian ilmu dikendalikan oleh barisan pakar yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM dan Dr. Mohd. Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, USM, bersama Puan Azlina Hashim, Manager (Strategy), Puan Noriza Adli, Accredited Trainer, (Learning & Education), MGTC, Puan Roslina Diwa, Ketua Penolong Pengarah, JAS, Putrajaya, Encik Mohd Haniff Mohd Salleh, Penolong Jurutera, JAS, Johor dan Encik Mohamad Syahmi Md Zainudin, Ketua Unit Pengurusan Penginapan Dan Fasiliti, Taman Negara Johor, Gunung Ledang (Lagenda). Pengisian ini berjaya memperkukuh kefahaman peserta mengenai perubahan iklim, pembangunan mampan dan aplikasi Teknologi Hijau dalam kehidupan seharian.

Sebelum majlis penutup, para tetamu telah dibawa melawat pameran pendidikan yang mengetengahkan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau. Antara tarikan utama ialah Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau CETREE, satu-satunya kenderaan penyelidikan universiti di Malaysia yang menggunakan minyak berasaskan 100% sayuran  sebagai bahan api utama serta sistem solar bagi menjana bekalan elektrik kepada peralatan pameran. Jabatan Alam Sekitar pula mempamerkan kaedah pengurusan sisa pepejal dan sisa elektronik, manakala Yayasan Hijau Malaysia mempamerkan inovasi menghasilkan produk bernilai daripada plastik terpakai. Pameran ini memberi gambaran jelas bahawa Teknologi Hijau dan amalan ekonomi kitaran mampu menyokong pembangunan yang lebih lestari.

Dalam ucapan aluannya, Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Encik Khairulhizam Hassan, berkata program seumpama ini merupakan platform penting dalam melahirkan murid yang berpengetahuan, kreatif, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti luar bilik darjah yang mengintegrasikan elemen kelestarian, STEM dan Teknologi Hijau adalah selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 untuk melahirkan modal insan yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Ledang. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa Kem Duta Muda Alam bukan sekadar program kesedaran alam sekitar, malah merupakan platform strategik untuk melahirkan generasi muda sebagai agen perubahan yang mampu menerajui transformasi budaya hijau di sekolah dan komuniti.

"Kita tidak mengharapkan semua peserta pulang dan terus mengubah dunia dalam sekelip mata. Namun, kita berharap setiap daripada mereka pulang dengan satu perubahan yang mampu memberi kesan kepada diri, sekolah dan masyarakat. Perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu menghasilkan impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar," katanya. Beliau turut menyeru agar usaha membudayakan kelestarian bermula di sekolah melalui pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pembudayaan amalan hijau dan pelaksanaan projek-projek lestari yang melibatkan seluruh warga sekolah. Menurut beliau, program ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek kelestarian di sekolah yang akan dipantau dan dinilai sebelum diraikan dalam Majlis Anugerah Sekolah Duta Muda Alam, sekali gus memastikan impaknya terus berkembang dalam kalangan murid, guru dan komuniti.

Majlis Perasmian Penutup diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program, diikuti Majlis Aku Janji Sekolah sebagai simbol komitmen warga sekolah untuk terus memperkukuh budaya kelestarian dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Program kemudiannya disempurnakan dengan sesi bergambar bersama para tetamu kehormat, pakar-pakar, guru dan peserta sebagai kenangan bermakna serta lambang komitmen bersama dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.

Kem Duta Muda Alam Daerah Tangkak membuktikan bahawa pembudayaan kelestarian alam sekitar perlu diperkasakan melalui pendidikan, pengalaman dan tindakan yang berterusan. Program ini bukan sahaja melahirkan Duta Muda Alam sebagai agen perubahan, malah menyemai nilai tanggungjawab, kepimpinan dan inovasi dalam kalangan generasi muda. Sesungguhnya, kelestarian bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama. Bermula dengan seorang Duta Muda Alam, lahirlah sebuah sekolah yang lestari; bermula dengan sebuah sekolah yang lestari, terbinalah sebuah komuniti yang menghargai alam demi kesejahteraan generasi hari ini dan masa hadapan.

Foto/Teks : Syafiq Saifullah Azmi