Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

TRANSFORMASI HIJAU SMK BUNTONG BERI IMPAK POSITIF KEPADA KOMUNITI SEKOLAH

KINTA UTARA, PERAK, 8 Julai 2026 – Komitmen berterusan dalam memperkukuh pembudayaan amalan kelestarian telah melonjakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buntong sebagai Naib Johan Operasi Beta dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Pencapaian ini mencerminkan kejayaan sekolah mengintegrasikan elemen pendidikan kelestarian secara holistik melalui penglibatan aktif warga sekolah, pelaksanaan intervensi berimpak tinggi serta pembentukan budaya hijau yang mampan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMK Buntong, Encik M. Abu Bakar NS Mohamed Sariff, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang pelaksanaan program. Beliau menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan melalui Program Sekolah Tunas Hijau telah memberi impak yang signifikan terhadap perubahan amalan harian warga sekolah, termasuk kejayaan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melebihi 60 peratus (%). Menurut beliau, pencapaian tersebut didorong oleh pelaksanaan intervensi yang menekankan perubahan tingkah laku, antaranya pembudayaan amalan membawa botol minuman sendiri, penggunaan bekas makanan boleh guna semula serta peningkatan kesedaran terhadap pengurusan sisa secara lestari.

Sementara itu, Puan Nor Hana Rosli, Senior Executive Yayasan Hijau Malaysia (YHM), dalam ucapannya mewakili pihak penaja bersama agensi pelaksana, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM , menegaskan bahawa Program Sekolah Tunas Hijau merupakan satu platform strategik dalam memperkasakan pendidikan kelestarian dan membentuk generasi muda sebagai agen perubahan yang berupaya mengamalkan gaya hidup rendah karbon.

Beliau turut berharap agar inisiatif yang telah dilaksanakan di SMK Buntong dapat diteruskan sebagai budaya organisasi sekolah yang berterusan dan tidak terhenti selepas tamat tempoh pelaksanaan program. Dalam masa yang sama, beliau mengadakan sesi interaktif bersama para murid bagi memperkukuh pemahaman mengenai konsep 5R, iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Redesign dan Recycle, sebagai pendekatan utama dalam mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan penjanaan sisa serta membentuk amalan penggunaan yang lebih bertanggungjawab.

Turut menyampaikan ucapan ialah Encik Mohd Roslan Mohd Nor, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Unit Pembangunan Bakat Murid, yang merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen tinggi dalam menjayakan agenda pendidikan kelestarian. Beliau menyifatkan kejayaan SMK Buntong sebagai bukti bahawa pendekatan pendidikan berasaskan amalan mampu membentuk perubahan tingkah laku yang positif dalam kalangan murid serta berharap pencapaian tersebut dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah-sekolah lain dalam memperkukuh pelaksanaan program kelestarian di peringkat sekolah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan gimik perasmian yang mengetengahkan elemen inovasi dan kelestarian apabila barisan Ejen Sekolah Tunas Hijau mempersembahkan sebuah kolam mini yang dihasilkan melalui kaedah guna semula kreatif (upcycling) menggunakan botol minuman plastik sekali guna. Gimik tersebut disempurnakan dengan pelepasan ikan guppy ke dalam kolam mini sebagai simbol komitmen warga sekolah terhadap pemeliharaan biodiversiti, pengurangan sisa plastik serta penerapan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam kehidupan seharian. Para hadirin turut dipertontonkan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) di SMK Buntong, merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan, pelaksanaan intervensi, penglibatan aktif warga sekolah serta impak program terhadap pembentukan budaya hijau dan amalan kelestarian di sekolah.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada murid serta warga sekolah yang telah menunjukkan komitmen dan kecemerlangan sepanjang pelaksanaan program. Pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya kelestarian secara berterusan serta menggalakkan lebih ramai warga sekolah untuk terus mengamalkan gaya hidup lestari. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin, Pegawai Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) merangkap Sekretariat CETREE, CGSS, USM bersama Encik Mohd Rodzi Abd. Razak.

Kejayaan SMK Buntong membuktikan bahawa Program Sekolah Tunas Hijau bukan sahaja berupaya meningkatkan literasi kelestarian dalam kalangan warga sekolah, malah berjaya mencetuskan perubahan tingkah laku yang positif melalui pelaksanaan amalan hijau secara konsisten. Pencapaian ini selari dengan aspirasi negara dalam memperkukuh pendidikan untuk pembangunan lestari serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau