USM DAN ISLAMIC SCIENCE DEMONSTRATION SCHOOL, PRINCE OF SONGKLA UNIVERSITY, PATTANI, THAILAND KUKUHKAN JALINAN ILMU MELALUI MODUL INTERAKTIF TENAGA LESTARI DALAM PROGRAM
NEXTGEN SDG – ACT4ACTION CAMP
USM, PULAU PINANG, 29 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) serta Pusat Pengajian Sains Kimia, USM, telah berjaya menganjurkan program “NextGen SDG – Act4Action Camp” yang memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG).
Program selama tiga hari ini diterajui oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Noor Haida Mohd Kaus selaku Penyelaras Program, dan disertai oleh pelajar Tingkatan Dua dari Islamic Science Demonstration School, Prince of Songkla University, Pattani, Thailand. Seramai hampir 70 orang peserta termasuk guru pengiring telah menyertai program ini yang berlangsung pada 28 Oktober 2025 bertempat di Dewan Seminar, Bangunan TORAY-USM.
CETREE diberikan kepercayaan oleh Pusat Pengajian Sains Kimia, USM untuk mengendalikan slot modul interaktif SDG yang memberi fokus kepada aspek tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan kelestarian. Objektif utama modul ini ialah memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang peranan tenaga hijau dalam pembangunan mampan, memupuk kesedaran kepimpinan muda terhadap isu global dan tempatan, serta meningkatkan penglibatan mereka melalui aktiviti hand's-on, perbincangan dan simulasi.
Antara pengisian utama ialah dua sesi yang dirangka khusus untuk memperkukuh kefahaman peserta terhadap SDG. Sesi pertama merupakan perkongsian ilmu oleh Yang Berusaha Dr. Suzyrman Sibly, Pensyarah Kanan CGSS, yang menerangkan secara menyeluruh 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang menjadi agenda global – merangkumi aspek kemiskinan, pendidikan, tenaga bersih, kesihatan, perubahan iklim, dan kelestarian alam sekitar. Perkongsian ini berlangsung dengan interaktif apabila para peserta menunjukkan minat tinggi dan bertanyakan pelbagai soalan bagi memahami dengan lebih mendalam peranan mereka dalam mencapai matlamat SDG. Interaksi dua hala yang aktif antara peserta dan penceramah menunjukkan tahap kefahaman dan minat yang tinggi terhadap isu kelestarian global.
Sesi kedua pula menampilkan aktiviti hand's-on “X-Plorace Teknologi Hijau”, dikendalikan oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, bersama sekretariat - sekretariat CETREE. Melalui aktiviti ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberi tugasan berfokuskan tiga matlamat utama SDG iaitu SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah Celik Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau, Pengenalan Jenis-Jenis Solar dan Mentol, Eksperimen Air Bersih, Reka Cipta Beg Kitar Semula, serta Pembinaan Ecobrick. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan pembelajaran aktif, malah membantu pelajar memahami bagaimana tindakan kecil mereka boleh menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan bergambar kenangan. Melalui NextGen SDG – Act4Action Camp, kerjasama erat antara CETREE, CGSS dan Pusat Pengajian Sains Kimia, USM berjaya membuka ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna buat murid-murid antarabangsa seperti Islamic Science Demonstration School, Prince of Songkla University, Pattani, Thailand. Program ini membuktikan bahawa memahami Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tidak hanya melalui teori, tetapi melalui pengalaman sebenar, tindakan kecil dan aktiviti hands-on yang mampu mencetus perubahan besar ke arah dunia yang lebih hijau dan lestari.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE