Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

USM DESTINASI ILMU: SMK JATI MENYUSURI JEJAK TENAGA LESTARI

USM PULAU PINANG, 29 Mei 2025 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, Perak telah mengadakan satu lawatan sambil belajar pada 28 Mei 2025 ke Pusat Pendidikan dan Latihan untuk Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga (CETREE), yang beroperasi di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Lawatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif pihak sekolah untuk memperluas pengetahuan murid dalam bidang teknologi hijau serta memberi pendedahan awal terhadap suasana pembelajaran di universiti terkemuka negara.

Rombongan lawatan diketuai oleh Puan Zauyah Alang Ahmad yang mewakili Pengetua SMK Jati. Turut serta dalam rombongan ialah lapan orang guru Sains dan seramai 36 orang murid Tingkatan 4 dan 5. Lawatan ini dirancang khusus ke CETREE kerana pusat ini merupakan peneraju dalam pendidikan berkaitan kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar di Malaysia. Hasrat utama lawatan adalah untuk mendedahkan murid-murid kepada teknologi tenaga lestari, memupuk kesedaran terhadap alam sekitar serta memberikan gambaran tentang kehidupan di kampus universiti.

Ketibaan rombongan disambut mesra oleh warga kerja CETREE di Bangunan TORAY, USM. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya pendidikan berasaskan teknologi hijau untuk membina generasi yang peka terhadap isu kelestarian. Seterusnya, Puan Zauyah Alang Ahmad turut menyampaikan ucapan wakil sekolah dengan menyatakan penghargaan dan keterujaan atas peluang berharga ini. Beliau menegaskan bahawa lawatan ini bukan sahaja memperkaya ilmu murid-murid, tetapi juga menjadi platform inspirasi untuk menanam minat menyambung pengajian ke peringkat universiti. Tambahan pula, beberapa guru pengiring yang hadir turut merupakan alumni USM, menjadikan kunjungan ini lebih bermakna.

Program diteruskan dengan sesi ceramah ilmu bertajuk “Kecekapan Tenaga dan Masa Depan Mapan” yang disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie. Sesi ini memberi pendedahan tentang isu tenaga, penggunaan lestari, serta tanggungjawab generasi muda dalam membentuk masa depan yang mampan. Selepas itu, para peserta menyertai aktiviti Eksplorasi Teknologi Hijau, yang merupakan aktiviti berasaskan pembelajaran secara interaktif (hands-on) yang dikendalikan oleh Sekretariat CETREE. Terdapat lima checkpoint yang menanti para pelajar, antaranya ialah: Penerokaan Tenaga Solar, Prinsip 5R (Reduce, Reuse, Recycle, Rethink, Refuse), Pembuatan Ecobrick, Eksperimen Cahaya dan Tenaga dan Lawatan ke Unit Pameran Bergerak.

Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami konsep teknologi hijau secara praktikal dan kolaboratif. Murid-murid dibahagikan kepada kumpulan dan diberi tugasan di setiap checkpoint sebagai cabaran pembelajaran. Sesi soal jawab antara murid-murid dan Dr. Mohd Sukri turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta mendalami lagi topik yang dibentangkan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dalam eksplorasi serta saguhati kepada semua peserta. Sebelum berangkat pulang, sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan lawatan ini.

Secara keseluruhannya, lawatan sambil belajar ke CETREE, USM ini telah mencapai matlamat yang dihasratkan oleh pihak sekolah. Ia bukan sahaja memperkasa ilmu berkaitan tenaga dan kelestarian, malah turut menyuntik semangat dan aspirasi dalam kalangan murid-murid untuk terus maju dalam bidang sains dan teknologi. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CETREE dan USM atas kerjasama yang diberikan dan berharap jalinan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi pembangunan generasi masa depan yang lebih berilmu dan bertanggungjawab.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE