USM PERKUKUH AGENDA TEKNOLOGI HIJAU GLOBAL, CETREE PIMPIN PROGRAM BERSAMA PELAJAR ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 18 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda kelestarian global melalui penganjuran program berimpak tinggi yang diterajui oleh Pusat Pendidikan & Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE),CGSS, USM. Program Perkongsian Ilmu ini telah berjaya menghimpunkan seramai hampir 40 orang pelajar antarabangsa daripada kumpulan Tilting Future dari pelbagai negara, yang berlangsung pada 17 April 2026 bertempat di Bangunan TORAY, USM. Inisiatif ini jelas menzahirkan peranan CETREE, CGSS sebagai peneraju utama pendidikan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program ini dilaksanakan melalui dua pendekatan utama iaitu sesi perkongsian ilmu dan aktiviti pembelajaran interaktif Fun Explorace Teknologi Hijau, yang direka khusus bagi menggabungkan elemen teori dan pengalaman praktikal. Sesi pertama telah dikendalikan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Sukri Shafie yang membentangkan perkongsian ilmu berkaitan mitigasi perubahan iklim dan cabaran kelestarian global. Antara aspek utama yang disentuh termasuk senario perubahan iklim, kelestarian bumi, revolusi perindustrian, pelepasan gas rumah hijau global mengikut sektor, serta unjuran suhu global menjelang tahun 2100. Perbincangan turut memberi penekanan kepada isu pemanasan global, Perjanjian Iklim Paris COP21, peranan teknologi hijau dan IPCC, hubungan tenaga dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), serta strategi penjimatan kos tenaga, pengurangan kehilangan tenaga dan mitigasi pelepasan karbon melalui analisis ekonomi.
Sesi ini berlangsung secara interaktif dengan penglibatan aktif para peserta yang mengemukakan pelbagai soalan dan pandangan bernas. Menyerlahkan lagi pendekatan inovatif CETREE, sesi Fun Explorace Teknologi Hijau telah dilaksanakan sebagai kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang lebih dinamik dan menyeronokkan. Sesi ini dikendalikan oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi bersama sekretariat CETREE dengan tempoh pelaksanaan selama tiga jam. Aktiviti ini memberi fokus kepada penerokaan ilmu berkaitan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau melalui pendekatan permainan interaktif dan aktiviti hands-on.
Turut berperanan sebagai fasilitator ialah dua orang pelajar Tilting Future serta dua orang pelajar dari Politeknik Seberang Perai yang membantu memastikan kelancaran program. Kejayaan pelaksanaan program ini sekali lagi membuktikan peranan CETREE, CGSS, USM sebagai peneraju utama dalam memperkasa pendidikan tenaga lestari, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan berimpak tinggi. Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan dalam memperkasa ilmu kelestarian dalam kalangan peserta antarabangsa Tilting Future.
Melalui gabungan perkongsian ilmu dan pengalaman pembelajaran secara praktikal, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah turut didedahkan dengan aplikasi sebenar teknologi tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau. Inisiatif yang diterajui oleh CETREE, CGSS, USM ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan dalam memacu agenda pendidikan kelestarian di peringkat global, di samping melahirkan generasi yang lebih peka, berilmu dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Program ini diharap menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik yang lebih luas pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh masa depan dunia yang lebih lestari.
Foto/Teks : Syafiq Saifullah Azmi